BISMILLAHIR RAHMAANIR RAHIIM
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami (Allah) telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan keturunan, supaya kamu saling berkenalan (dan beramah mesra diantara satu sama lain). Sesungguhnya orang yang paling mulia dari kalangan kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa dari kalangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah Al-Hujurat: Ayat 13).
Dengan perkembangan-perkembangan laporan semasa di pelbagai segmen kehidupan baik luar negara mahupun dalam negeri, yang sejak akhir-akhir ini lebih banyak menimbulkan kerisauan, berbanding dengan berita, khabar dan harapan yang lega untuk kita semua, saya seolah-olah dapat merasakan betapa rakyat kita sudah semakin berada dalam rasa resah, ketidak tentuan dan serba salah.
Mereka bukan tidak ada sebuah kerajaan atau tidak ada pemimpin tetapi apalah daya mereka apabila mereka tidak lagi terasa yang kehidupan mereka dilindungi. Apa yang ada di carta semak “harapan sebuah kebahagiaan” yang dijanjikan untuk diri, keluarga, agama dan negara mereka; hampir semuanya kabur dan sedang berada dalam suasana yang cukup berkecamuk.
Walaupun di sana terdapat banyak masjid yang indah-indah, teks khutbah, janji, piagam, lagu patriotik dan ikrar yang dilaung dan digantung di mana-mana tetapi ia sekadar deklarasi-deklarasi kosong yang tiada roh. Ini kerana ia kehilangan kejujuran.
Ia ketiadaan berkat kerana ia tidak diseru atas hasrat ikhlas untuk benar-benar memelihara adab dan agama, demokrasi dan keamanan serta perpaduan dan kesejahteraan. Dalam banyak kes dan contoh, apa yang rakyat lihat cumalah drama dan silap mata untuk songlap kepentingan awam menjadi milik kroni bagi pihak proksi dan rakan kongsi untuk tujuan-tujuan persendirian.
Diatas nama mahukan politik yang stabil demi memperkukuhkan ekonomi negara, pengukuhan kerajaan telah dilakukan melalui projek-projek pembangunan. Dari situlah bermulanya ketirisan, pembaziran, rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Mereka yang memegang amanah, telah mengkhianati amanah.
Contoh tipikal ialah apa yang telah dan sedang berlaku di Perak sekarang. Maka, jadilah banyak slogan yang baik-baik itu menjadi motto kosong yang tidak memberi apa-apa kesan dan harapan pemulihan. Selaras dengan ini, jika tarikh 13 Mei sebelum ini sering dirujuk kepada tragedi buruk yang menghitamkan sejarah perpaduan kaum di negara kita maka saya kira tanggal 13 Mei untuk masa-masa ke hadapan boleh kita jadikan sebagai tanggal yang boleh mencetus momentum baru.
Hari ini, 13 Mei 2009 Masehi bersamaan 18 Jamadil Awal 1430 Hijrah, izinkan saya mengajak diri saya dan seluruh rakyat Malaysia supaya kembali mencintai diri sendiri terlebih dahulu. Untuk mencintai diri demi untuk selamat di Yaumul Qiamah seperti yang sering orang Islam ulangi di setiap kali solat kita pertama-tamanya perlu sihat dan selamat terlebih dahulu.
Dari itu, kita perlu pula sentiasa berada dalam keadaan yang sentiasa tenang, tenteram dan gembira. Untuk bahagia, tenang dan gembira, tentu kita wajib hidup dalam sebuah disiplin hidup beragama. Kembalilah kepada ajaran agama dan bertaqwalah kepada Allah S.W.T; itu premis kebahagiaan yang pertama. Kedua, kita perlukan sebuah kerajaan yang betul-betul berjiwa rakyat.
Oleh kerana kita telah memilih sistem demokrasi berparlimen sebagai aliran pemerintahan dan premis hidup bernegara, maka kita perlu diberikan hak-hak sivil, kebebasan bersuara, berhimpun secara aman, menghormati prinsip pengasingan kuasa dan “rule of law and natural justice” serta segala amalan hak asasi manusia seperti yang dijamin oleh Perlembagaan.
Ini bertindak sebagai asas dan pra syarat utama bagi seluruh rakyat Malaysia. Rakyat perlu diberi atau dikembalikan semula hak-hak tersebut jika ia telah dirampas dari tangan mereka selama ini. Ketiga, setiap rakyat dari pelbagai bangsa, agama, etnik dan keturunan perlu mendapat perlindungan keselamatan dari segala gangguan jenayah ragut, rogol, rampas, bunuh, bom dan bakar yang semakin menjadi-jadi.
Selagi rakyat tidak merasa selamat dan terasa dilindungi ketika menjalani dan melaksanakan kehidupan beragama dan aktiviti mencari rezeki seharian; terasa dipelihara keselamatan mereka dari segi nyawa, maruah, air muka, tubuh badan dan harta benda dari difitnah dan dimusnah; maka selama itulah kerajaan yang bertanggungjawab tidak boleh terasa selamat.
Ini soal hak yang sangat asas. Ia menjadi hak asasi milik setiap rakyat yang wajib dipelihara, sentiasa diberi dan selamanya dihormati. Mari kita jadikan tanggal 13 Mei 2009 sebagai titik tolak perubahan ke arah memperkukuhkan suasana hidup beragama, mempereratkan persaudaraan dan muhibah serta menolak mana-mana pihak yang merosakkan perpaduan kaum dengan mencetuskan isu-isu perkauman yang bukan-bukan untuk mengaut mileage politik bagi melanjutkan hayat perjuangan mereka berasaskan semangat kebangsaan.
Kepada semua orang Islam tanpa mengira bangsa, izinkan saya berseru supaya hayatilah mesej dan roh lafaz salam “assala mu’alaikum warahmatullah” dengan sepenuhnya. Di sana ada makna persaudaraan yang sangat dalam. Bagi seluruh rakyat Malaysia pada amnya, mari kita kukuhkan ukhuwwah dalam semangat Pakatan Rakyat berbilang kaum untuk memulihkan demokrasi di Malaysia dengan menolak segala bentuk amalan kezaliman, rasuah dan ketidak adilan.
Terima kasih dan Wassalam.
NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Menteri Besar Kelantan
Merangkap
Mursyidul Am PAS
akira8047
kedaikopitepimasjid
LIMAU PURUT 3 SERANGKAI- PUAK PUAK BUTA PERUT TAK DAK AKAI...
12 jam yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Ulasan yang membina dialu-alukan. (kalau nak ulas atau nak hentam aku... sila taruk nama... baru aku boleh respek hangpa... tak tau cara nak tulis nama : hangpa klik kat nama/url dan kasi taruk nama kat situ. bukannya susah pun)