Bermulanya sebuah cerita di negeri nun jauh di sebelah timur negara. Terdapat sebuah jajahan yang mana pemerintahnya amat disayangi sekalian rakyat jelata. Tak kira yang tua dan muda, yang dara mahupun teruna. Semuanya hidup damai sejahtera.Namun apabila tiba masa yang telah ditetapkan, maka kembalilah pemerintah tersebut mengadap kembali Penciptanya. Maka duka lara menyelubungi setiap sudut pelusuk negeri tersebut.
Ceritera yang hendak dijadikan cerita pun berlaku. Si pemerintah tersebut tidak mempunyai keturunan untuk dijadikan pewaris dalam meneruskan pemerintahannya. Namun sebelum kematiannya, sempat juga dia memberi amanat agar penggantinya dipilih oleh sekalian rakyat jelata melalui undian.
Mengenangkan amanat yang diberi perlu ditunaikan, berpakat-pakatlah segelintir rakyat yang bijaksana dalam mencari dan menentukan cara terbaik untuk mereka mencari pemerintah yang baru. Dan dengan sebulat suara mereka menetapkan cara undian dilakukan di setiap desa dalam jajahan tersebut. Maka ditetapkan hari bulan dimana nama-nama mereka yang dirasakan layak perlu dikemukakan.Hanya rakyat di jajahan tersebut sahaja yang layak untuk memilih siapa yang mereka inginkan dan tidak dibenarkan membawa sebarang jenis binatang, hantu belaan mahupun pondok untuk berteduh semasa hari pengundian tersebut.
Maka dengan pengumuman tersebut, tersebarlah ke pelosok tanah jajahan bahawasanya akan ada satu hari dimana mereka perlu menunaikan tanggungjawab dalam menentukan pemerintah yang baru. Berita sensasi itu telah sampai ke telinga Orang Kaya Bijan Kazar. Orang Kaya Bijan merupakan salah seorang pemimpin yang berasal nun jauh dari tanah jajahan yang memakan masa berhari-hari perjalan menggunakan kudrat. Beliau merupakan salah seorang pemerintah yang zalim. Merompak harta rakyat demi kepentingan diri dan kaum kerabatnya. Oleh kerana Orang Kaya Bijan yang berasal dari pekan dan bukannya desa, maka apabila terkenangkan sebuah desa yang aman permai dimana rakyatnya memiliki tanah-tanah yang seluas mata memandang, pantas Orang Kaya Bijan mengatur strategi untuk menakluk tanah jajahan tersebut.
Orang Kaya Bijan sedar bahawasanya beliau bertanding pasti akan tewas kerana kezaliman dirinya. Lantas beliau meletakkan orang kepercayaan untuk bertanding dalam pemilihan tersebut. Pelbagai strategi diatur. Sebelum bermulanya hari untuk mengemukakan nama pemerintah baru, Orang Kaya Bijan telah menghantar orang kepercayaan bersama-sama dengan sejumlah hamba abdi. Selang beberapa hari, tibalah rombongan itu di tanah jajahan tersebut. Semua hamba abdi diberikan persalinan yang cantik-cantik belaka. Mereka perlu sentiasa tersenyum mengiringi orang kepercayaan Orang Kaya Seman agar penduduk di jajahan tersebut terpikat. Pelbagai pendekatan dilakukan dan penipuan yang diatur untuk memenuhi hajat Orang Kaya Seman. Ada hamba abdi yang dikerah membantu penduduk menoreh, dan ada
yang membantu penduduk membina rumah yang usang. Abdi yang muda menolong yang golongan muda,abdi tua berborak sesama usia.
Bak kata, pelbagai kebaikan ditonjolkan.Sehingga sekarang hamba-hamba abdi Orang Kaya Bijan masih meneruskan sandiwara di tanah jajahan tersebut. Mereka sedang menanti tibanya hari untuk mereka mengemukan nama orang kepercayaan Orang Kaya Bijan. Oleh kerana kisahnya sedang dan masih dilakonkan.... maka kiranya masih ada usia yang panjang, hamba akan ceritakan kepada anak cucu sekalian..............
akira8047
kedaikopitepimasjid
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Ulasan yang membina dialu-alukan. (kalau nak ulas atau nak hentam aku... sila taruk nama... baru aku boleh respek hangpa... tak tau cara nak tulis nama : hangpa klik kat nama/url dan kasi taruk nama kat situ. bukannya susah pun)