Pilihan anda di PRU13

Sabtu, 31 Oktober 2009

Peluang terlepas kerana terpaksa merawat penyakit

Pru12 melabuhkan tirai dengan memberi kemenangan besar kepada Pakatan Rakyat. Berberapa siri Pilihanraya Kecil juga menyebelahi Pakatan Rakyat kecuali di Batang Ai dan Bagan Pinang. Kemerosotan undi PR di Bagan Pinang tidak boleh dikatakan bahawasanya rakyat satu Malaysia memberi sokongan kembali kepada BN. Beberapa sebab boleh digariskan mengenai kekalahan ini. Namun yang menang tetap menang, dan yang kalah tetap kalah.

Namun tidak boleh dinafikan kemerosoton undi dan kekalahan di Bagan Pinang mengundang taufan di dalam PAS selaku parti yang bertanding disana. Kebangkitan ahli-ahli diakar umbi yang mempersalahkan beberapa orang pemimpin atasan di atas kekalahan mencetuskan suasana berbeza. Sedikit kekalutan berlaku apabila beberapa pandangan dari ahli akademik ataupun bijak pandai yang menyebelahi ahli-ahli akar umbi. Kritikan demi kritikan dibalas dengan hujah-hujah yang mencerminkan kecetekan ilmu pemimpin tertinggi. Taufan yang melanda semakin laju kuasanya apabila TG Nik Aziz mengusulkan EGM diadakan. Maka terkejut beruklah beberapa kerat pemimpin yang nama mereka dikaitkan. Lalu mesyuarat khas diadakan. Dalam mesyuarat tersebut , keputusan untuk mengadakan Seminar Khas pada 7 November telah diputuskan. Taufan kembali reda walaupun tidak sepenuhnya.

Dalam masa PAS menghadapi taufan, PKR juga tidak terlepas dari ribut yang telah dijangka. Adun Perlabuhan Klang mengishtiharkan keluar parti dan menjadi adun Bebas. Bagi kebanyakkan ahli PKR dan pemerhati politik profesional mahupun pemerhati politik kedai kopi dapat menjangkakan perkara ini akan berlaku. Namun impak dan kesan yang ditinggalkan tetap ada. Bagi penduduk-penduduk kampung, isu ini menjadikan merasa semakin sangsi dengan perjuangan PKR. Setelah beberapa adun mereka melompat menjadi adun bebas, kepercayaan masyarakat ataupun pengundi sedikit sebanyak akan merosot. Perkara begini tidak sepatutnya berlaku apabila sebuah parti yang dipimpin oleh tokoh-tokoh besar yang berpengaruh dengan melaungkan agenda perubahan. Namun, dengan melompatnya adun-adun bermasalah ini, sekurang-kurangnya pembersihan dapat dilakukan dalam menghadapi PRU13 nanti.

Namun apa yang dikesalkan setelah PR berjaya menawan beberapa negeri di Semenanjung Malaysia, seharusnya kekuatan yang ditonjolkan dan bukannya masalah dalaman yang akan menjauhkan parti dari rakyat. Dengan masalah dalaman BN, beberapa parti kompenen mereka menghadapi masalah dalaman yang kronik, dengan keadaan rasuah yang berleluasa, salahguna agensi-agensi kerajaan dan taraf ekonomi yang merosot, sepatutnya BN sudah berjaya dikafankan. Hanya menunggu untuk dibenamkan di dalam kubur. Sayang sekali, peluang yang begitu besar terpaksa dilepaskan hanya untuk memulih dan merawat penyakit-penyakit yang sepatutnya tidak dijangkiti sekiranya pemimpin-pemimpin PR berwaspada daripada awal.

Sewajibnya pemimpin-pemimpin di dalam Pakatan Rakyat kembali mengatur strategi untuk menawan negara di PRU13. Ini kerana harapan baru rakyat Malaysia berada di atas bahu mereka. Hindari segala masalah dengan bijaksana. Lakukan pembersihan parti dengan segera. Kami golongan muda sentiasa menyokong anda biarpun taufan melanda. Ubah sebelum parah.

Ubah untuk kemenangan rakyat Malaysia.



akira

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ulasan yang membina dialu-alukan. (kalau nak ulas atau nak hentam aku... sila taruk nama... baru aku boleh respek hangpa... tak tau cara nak tulis nama : hangpa klik kat nama/url dan kasi taruk nama kat situ. bukannya susah pun)

10 ARTIKEL YANG TERDAHULU

Artikel Terdahulu