ANALISIS Pelbagai isu yang melanda Umno dan Barisan Nasional daripada usaha untuk menapis internet sehinggalah kepada perpecahan parti komponen utama BN, menunjukkan Datuk Seri Mohd Najib Razak hari ini terpaksa berseorangan dalam berhadapan dengan Pakatan Rakyat.
Sebaik sahaja mengambil alih tampuk kepimpinan kerajaan pada April lalu, Najib menggambarkan dirinya sebagai seorang reformis. Bahasa reformis yang digunakan Pakatan dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim juga diterimapakai sebagai sebahagian agendanya.
Daripada hasrat meminda Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hinggalah kepada usaha-usaha liberalisasi ekonomi, Najib mengenengahkan imej seorang pemimpin yang responsif kepada kehendak rakyat.
Kemuncak usaha-usaha Najib membina imej baharu ini adalah kejayaannya meraih populariti sehingga 65 peratus, menurut kajian firma tinjauan pendapat Merdeka Centre yang diumumkan awal Julai lalu.
Bagai seorang negarawan, beliau mengelak daripada membincangkan isu remeh-temeh apabila ditanya wartawan.
Walau bagaimanapun, usaha-usaha beliau dalam mengembalikan sokongan rakyat kepada BN ini tidak mendapat sambutan baik dari dalam partinya sendiri.
Anggota kabinetnya ada yang berminat dengan usaha untuk menapis internet, kononnya untuk mengelakkan rakyat daripada menonton pornografi.
Namun beberapa jam selepas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim mengesahkan usaha menapis internet itu, Najib dengan tegas menafikannya, sambil mengatakan ia bertentangan dengan kehendak awam dan mustahil untuk dilakukan.
Dan tidak lama selepas berita popularitinya yang semakin meningkat itu diketahui umum juga, pemimpin-pemimpin Umno semakin agresif pula menyerang Anwar, memanggilnya sebagai pengkhianat Melayu.
Dengan diketuai timbalan presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin, para pemimpin parti lain turut menyahut serangan kepada Anwar ini dengan ceramah yang berbaur perkauman untuk menguatkan sokongan kalangan orang Melayu.
Pada pertengahan Ogos lalu, pemuda Umno mengadakan ceramah di Shah Alam juga berbaur perkauman, menuduh kerajaan Selangor yang diterajui Pakatan telah menindas orang Melayu dan mungkin menyebabkan babi dijual secara terbuka di Shah Alam.
Dan minggu lalu satu perarakan telah diadakan dekat bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor sebagai membantah pembinaan kuil.
Para penunjuk perasaan turut membawa bersama kepala lembu yang masih berdarah � tindakan yang dilihat menghina penganut agama Hindu.
Namun yang menjejaskan imej parti itu dalam hal protes ini adalah tindakan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang cuba mempertahankan para penunjuk perasaan selepas satu pertemuan dengan mereka.
Atas desakan daripada awam dan pemimpin Pakatan, naib presiden Umno itu mengubah pendiriannya dan kini mahu mereka yang membawa kepala lembu dikenakan tindakan.
Kesemua insiden-insiden ini membawa kesan buruk kepada gagasan 1 Malaysia � untuk menggalakkan perpaduan negara � yang cuba dipromosikan Najib.
Tidak cukup dengan tindakan daripada dalam parti sendiri yang menjejaskan usaha menarik sokongan bukan Melayu, komponen kedua terbesar yang sepatutnya menjaga sokongan orang Cina terhadap BN, MCA, kini berpecah dua.
Timbalan presidennya Datuk Dr Chua Soi Lek baru sahaja dipecat atas penglibatan dalam video seks dan penyokongnya dan juga presiden Datuk Seri Dr Ong Tee Keat masing-masing sedang berusaha memanggil mesyuarat agung khas, yang satu untuk mengguling Ong dan satu lagi untuk mengesahkan tindakan memecat Chua.
Dengan krisis terbaharu ini MCA kini menjadi liabiliti buat BN dan tidak mampu menarik sokongan Cina yang telah meninggalkan parti pemerintah itu pada 8 Mac tahun lalu.
Kini Najib bukan sahaja tidak boleh bergantung kepada partinya Umno untuk melaksanakan agenda perubahannya, parti komponen seperti MCA juga menjadi batu penghalang dalam usaha beliau menyekat kemaraan Pakatan.
Tanpa sokongan dan bantuan rakan-rakannya, Najib kini terpaksa berseorangan berhadapan dengan Pakatan.
OLEH : Ramlan Joharee
SUMBER : harakahdaily
akira
TENGOK PERANGAI WALAUN CAM SIAL.
4 jam yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Ulasan yang membina dialu-alukan. (kalau nak ulas atau nak hentam aku... sila taruk nama... baru aku boleh respek hangpa... tak tau cara nak tulis nama : hangpa klik kat nama/url dan kasi taruk nama kat situ. bukannya susah pun)