Pilihan anda di PRU13

Ahad, 2 Ogos 2009

ISA - Penolakan tuhan baru bernama ISA

Pada awal tahun lapan puluhan, beberapa orang penulis berusaha bersungguh-sungguh untuk mengapi-apikan kebencian kepada Amerika Syarikat kerana keangkuhan dan sikap samsengnya yang berlagak sebagai polis dunia. Artikel-artikel dari Crescent International dan majalah-majalah dari Republik Islam Iran dijadikan bahan rujukan.

Usaha itu tidaklah semudah yang disangka. Ramai yang tidak faham kenapa Amerika patut dibenci. Dengan bersandarkan kemahiran propaganda Amerika serta media Barat lain, Arab Saudi yang menjadi pak yet Amerika berjaya menggambarkan demonstrasi bara'ah para jemaah haji Iran menentang Amerika dan mustakbirin sebagai perbuatan terkutuk.

Hari ini, kira-kira 30 tahun lebih selepas itu, usaha sekumpulan penulis tempatan mengapi-apikan kebencian kepada Amerika itu boleh dianggap semakin menampakkan hasil di negara ini.

Pada tahun lapan puluhan juga, iaitu pada tahun 1984, beberapa pemimpin PAS ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Sekali lagi ketika itu, orang-orang PAS melawan ISA. Kemuncak penentangan terhadap akta yang mencabar kuasa Allah s.w.t. itu ialah gugurnya Asy-Syahid Ustaz Ibrahim Libya dan pengikut-pengikutnya di Memali.

Ibrahim tidak menentang ISA melalui tulisan, ceramah, seminar atau demonstrasi. Beliau menentang ISA dengan nyawanya. Mujurlah ketika itu PAS tidak berkerjasama dengan DAP. Jika tidak, tentulah Ibrahim dikutuk sebagai alat DAP, dipergunakan oleh orang Cina atau India dan pelbagai tuduhan lain yang serba desperate.

Hari ini, ISA berkembang menjadi satu kepercayaan atau i'tiqad bagi sesetengah orang. Mereka yakin bahawa ISAlah yang menjamin survival atau kelansungan kuasa mereka.

Dengan licik, mereka gunakan istilah bangsa Melayu dan agama Islam sebagai kosmetik kepada ISA demi mempertahankan kelansungan kuasa mereka. Mereka menampakkan dengan jelas bahawa kelansungan kesedapan kuasa mereka dapat dipertahankan oleh ISA. ISA menjadi sebahagian dari 'aqidah mereka, kalaupun tidak menjadi sembahan baru mereka.

Malah ada yang berkata, dia tidak kisah ISA memperkosa kebebasannya. Tetapi, ia mesti dipinda. Orang mula mempersendakan, mungkin nanti orang itu tidak kisah ahli keluarganya diperkosa. Beliau hanya mahu cara perkosaan dipinda.

Kepada orang-orang Melayu yang beragama Islam dan yakin sepenuhnya kepada Allah s.w.t., survival dan masa depan mereka di tangan Allah. Oleh kerana mereka yakin survival dan masa depan mereka di tangan Allah, mereka berusaha mempertahankannya melalui usaha, peraturan dan institusi yang tidak mencebik atau mencabar kuasa Allah.

Pada tahun lapan puluhan, walaupun ISA mula terbentuk menjadi tuhan baru atau sekurang-kurangnya menjadi sebahagian dari 'aqidah sesetengah orang, bukan mudah untuk mengajak orang-orang Melayu beragama Islam membenci dan menentang ISA (bara'ah min ISA - bara'ah bermakna disavowal atau ingkar). Ketika itu, sama seperti tidak jelasnya mereka terhadap kejahatan Amerika, begitulah juga tidak jelasnya mereka terhadap kejahatan ISA.

Hari ini, Sinar Harian muncul dengan tajuk besar "Demo bantah ISA: 95% orang Melayu?" Saya tidak berpuas hati dengan tajuk itu. Alangkah baiknya kalau saya dapat melihat tajuk "Demo bantah ISA: 100% orang Melayu".

Saya berkata begitu kerana ia boleh menjadi angka tunjuk kepada kebencian orang-orang Melayu yang beragama Islam terhadap ISA dan penganut 'aqidah baru bernama ISA.

Kita sorot apa yang berlaku sebelum ini. Pada tahun 1997 dan 1998, hampir 100 peratus mereka yang menyertai demonstrasi Reformasi adalah orang-orang Melayu (walaupun saya tidak menyertainya kerana bimbang tak dapat pahala).

Ramai orang bertanya, apa gunanya cetusan-cetusan itu? Malah, akhirnya terbukti demonstrasi-demonstrasi Reformasi itu, bak kata Orang Putih "dissipated by itself".

Saya sendiri pun mempersoalkan apa guna demonstrasi-demonstrasi itu? Cina, India tak sokong pun. Saya mencebik demonstrasi-demonstrasi itu. Mungkin dipengaruhi sentimen saya yang tak suka Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak 29 Mac 1982. Saya juga berhujjah, "berapa cangok ja orang yang pi demonstrasi Reformasi tu? Tempat aku duduk tu, aku rasa dua tiga orang pun tak sampai yang pi demonstrasi tu".

Tetapi, pada pilihan raya umum 1999, walaupun penolakan terhadap Barisan Nasional tidaklah seteruk pilihan raya 2008, ternyata Umno cedera parah. Kira-kira 65 peratus orang-orang Melayu menolak Umno. Akibat dari itu, bangsa Umno menzalimi orang-orang Melayu yang beragama Islam dengan persempadanan semula kawasan pilihan raya 2003 yang berniat jahat itu.

Ketika itu, mereka yang berdemonstrasi Reformasi di Kuala Lumpur balik berkempen kepada ibu, ayah dan keluarga mereka. Saya sendiri terkejut Allahyarham ibu saudara di Kati yang ketika itu berusia 85 tahun begitu benci kepada Umno yang sebelum itu diundi calon-calonnya sejak pilihan raya diadakan. Malah, ketika kenduri arwah ibu saya sendiri yang baru meninggal dunia dalam tempoh itu, saya terkedu melihat anak-anak saudara dan saudara mara saya terutama generasi muda menghentam Umno habis-habisan.

Sedangkan sebelum itu, aku sorang ja yang tercangok-cangok sokong PAS hinggakan saya tak rajin bersembang politik dengan keluarga saya demi menjaga hubungan sesama sendiri.

Mengambilkira pengajaran sejarah, demonstrasi anti-ISA yang cuba diberi warna perkauman oleh bangsa Umno akhirnya akan terbentuk menjadi sikap orang-orang Melayu beragama Islam ke arah menolak habis-habisan penjajahan bangsa yang rasuah, chauvinist dan racist itu. Insya Allah.

Sesudah berusaha, kepada Allah kita berdoa dan berserah (Gambar di atas ihsan Berita Harian 2/8/09).

pakbakaq a.k.a penarikbeca

sumber : penarikbeca.blogspot
akira8047
kedaikopitepimasjid

1 ulasan:

  1. Tuan, Terima Kasih kerana menggunakan tajuk di atas tetapi dari sudut lain ia boleh membawa maksud yang tidak sesuai. Saya sendiri pun tidak bersetuju dengan ISA tapi tuan telah menggunakan tajuk Tuhan Baru bernama ISA akan mengelirukan dan mungkin juga itu satu penghinaaan bagi mereka yang mengganut agama kristian. Tuhan mereka ialah bernama ISA atau Yesus. Jadi saya minta jasa baik tuan untuk ubah tajuk tersebut supaya tidak menimbulkan salah faham. Saya hormat perjuangan tuan dan rakan-rakan yang menuntut ISA dimasuhkan bukan Tuhan baru bernama ISA. Nama Tuhan dan Nabi tidak molek digunakan secara semberono. Sekian, Terima Kasih.

    BalasPadam

Ulasan yang membina dialu-alukan. (kalau nak ulas atau nak hentam aku... sila taruk nama... baru aku boleh respek hangpa... tak tau cara nak tulis nama : hangpa klik kat nama/url dan kasi taruk nama kat situ. bukannya susah pun)

10 ARTIKEL YANG TERDAHULU

Artikel Terdahulu