Pilihan anda di PRU13

Khamis, 9 Julai 2009

Manek Urai - 3 cara untuk UBN tawan N41

Terdapat tiga cara Umno-BN boleh memenangi pilihan raya Kecil Dun Manek Urai. Demikian ditegaskan Penasihat Jentera Operasi PAS Pilihan raya Kecil Dun Manek Urai, Dato' Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

"Saya mencadangkan agar Umno menggunakan tiga cara ini iaitu tipu, pitis dan ugut yang kebiasaannya kita akui pernah digunakan dalam pilihan raya kecil yang sebelum ini," katanya kepada pemberita semalam.

Ini kerana mereka tiada cara lain untuk menawan kawasan ini melainkan dengan cara tersebut, dan PAS tiada cara untuk menanganinya.

Tegasnya, strategi lain yang dijalankan tidak akan memberikan kesan dan tidak mampu menyaingi jentera serta strategi PAS yang lebih bersedia daripada awal selain masyarakat di Manek Urai berakar umbi.

Tambahnya, Umno mungin perlu membelanjakan sebanyak RM25 juta untuk mengupah 5,000 orang pengundi dengan bayaran sebanyak RM5,000 seorang.

"Mungkin itu sahaja cara yang Umno boleh buat untuk memenangi pilihan raya kali ini," tambahnya lagi.

Beliau yang juga ahli parlimen Kota Bharu tidak menafikan tindakan yang bakal diambil oleh Umno dengan menggunakan jentera kerajaan seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Seperti biasa, Umno memperalatkan SPR dengan menetapkan tarikh penamaan dan pengundian jatuh pada hari bekerja iaitu hari Selasa sekaligus tidak mewajibkan kepada semua majikan yang kakitangan mereka adalah merupakan pengundi agar melepaskan mereka pulang untuk membuang undi pada hari terbabit," katanya lagi.

Wan Abdul Rahim yakin bahawa terdapat majikan yang enggan membenarkan kakitangan mereka cuti bergaji pada hari berkenaan.

"Walaupun ianya menyalahi peraturan pilihan raya, tetapi kita lihat tiada ketegasan dan SPR seolah-olah tidak serius dalam melaksanakan peraturan ini," ujarnya.

Strategi ini ujarnya, merupakan cara untuk menghalang pengundi luar balik mengundi bagi membantu mempertahankan kemenangan PAS.

"Dia tahu bahawa pengundi ini akan balik mengundi PAS dan ini merupakan salah satu cara untuk menghalang mereka, kerana tarikh berkenaan jatuh pada hari bekerja," ujarnya lagi.

Dalam pada itu Wan Abdul Rahim berpendapat, tindakan Umno yang bertindak menyerang peribadi calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah ternyata lebih memberi kesan yang negatif kepada diri mereka sendiri.

"Strategi tersebut merupakan tindakan yang bersifat makan diri apabila mereka bertindak kurang bijak menghina latar belakang calon kita dengan membandingkan dengan calon mereka selain pertembungan kenyataan tok guru Nik Aziz yang keras terhadap Umno," jelasnya.

Bagaimanapun, beliau percaya bahawa PRK Manek Urai akan menjadi tempat Umno berkubur.

"Saya percaya bahawa Manek Urai akan menjadi pukulan maut dan pusara kepada Umno," katanya merujuk kenyataan-kenyataan Tuan Guru yang akhir-akhir ini mengecam Umno dengan begitu hebat.

Mengulas tindakan PAS yang dianggap agresif pada kali ini, Wan Abdul Rahim menjelaskan rasional tindakan tersebut adalah disebabkan oleh Manek Urai sebagai kubu kuat PAS yang perlu dipertahankan.

"Ini kubu kita, rumah kita, kita bertarung di padang sendiri," katanya lagi.

Oleh yang demikian, dengan kekuatan jentera dan sokongan yang ada, beliau berkeyakinan bahawa PAS boleh menang dengan majoriti yang bertambah.

sumber : http://prkn41.pas.org.my
akira8047
kedaikopitepimasjid

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ulasan yang membina dialu-alukan. (kalau nak ulas atau nak hentam aku... sila taruk nama... baru aku boleh respek hangpa... tak tau cara nak tulis nama : hangpa klik kat nama/url dan kasi taruk nama kat situ. bukannya susah pun)

10 ARTIKEL YANG TERDAHULU

Artikel Terdahulu