Pilihan anda di PRU13

Sabtu, 11 Julai 2009

Manek Urai - Zakat Gaji dan Pendapatan

Zakat pendapatan termasuk dalam zakat mal mustafad yang dijelaskan tadi. Oleh demikian, cara mengeluarkan zakat ke atasnya tertakluk dengan cara mengeluarkan zakat ke atas mal mustafad tadi dari segi perkiraan haul, nisab dan kadarnya. Huraian lanjut tentang zakat ke atas pendapatan ini adalah seperti berikut;

Jenis-jenis pendapatan

Pendapatan dapat dibahagikan kepada dua jenis iaitu;

a) Pendapatan secara berakad (kontrak); iaitu seseorang mengikat kontrak dengan pihak lain (sama ada kerajaan, syarikat atau individu) untuk melakukan kerja sama ada bersifat guna tenaga atau pemikiran atau kedua-duanya sekali dan sebagai imbalannya ia akan mendapat gaji atau pendapatan secara tetap mengikut harian, mingguan, bulanan atau sebagainya. Pendapatan jenis ini dinamakan sebagai pendapatan gaji.

b) Pendapatan bebas; iaitu seseorang bekerja sendiri tanpa mengikat kontrak dengan orang lain dan pendapatan yang diperolehinya tidak bersifat tetap tetapi berubah-ubah. Pendapatan jenis dinamakan juga pendapat khidmat profesional. Contohnya ialah; pendapatan seorang doktor, peguam, mekanik dan sebagainya.

Perkara terpenting yang membezakan antara dua jenis pendapatan tersebut ialah dari segi sifat pendapatan sama ada tetap dan bersistem atau tidak. Pendapatan secara kontrak adalah tetap dan bersistem mengikut kontrak sama ada harian, mingguan, bulanan atau sebagainya. Sementara pendapatan bebas atau khidmat profesional tidak tetap dan tidak bersistem. Ia adakalanya terhasil dalam jangka masa yang cepat dan adakalanya lambat, adakalanya banyak dan adakalanya sedikit. Walaupun ada perbezaan tersebut, namun antara kedua-duanya ada titik persamaan yang ketara iaitu kerja. Kedua-dua jenis pendapatan tersebut merupakan hasil kerja atau dalam pengertian lain kerja adalah sebab pokok terhasilnya pendapatan tersebut.

Kedua-dua jenis pendapatan di atas wajib dikeluarkan zakat jika mencukupi nisab iaitu kadar minima pendapatan yang ditetapkan Syarak untuk mewajibkan zakat. Selain itu, disyaratkan juga pendapatan itu dari kerja yang halal kerana Allah itu baik dan Ia tidak menerima melainkan yang baik.

Nisab zakat pendapatan

Nisab bagi zakat pendapatan ialah sebagaimana nisab zakat al-Mal al-Mustafad iaitu 85 gram emas. Kiraan nisab hendaklah berdasarkan kepada pendapatan bersih. (Zakat; Menuju Pengurusan Profesional, Mujaini Tarimin, hlm. 62).

Oleh demikian, seseorang yang memperolehi pendapatan bersih tahunan menyamai atau melebihi nilai semasa 85 gram emas, wajiblah ke atasnya mengeluarkan zakat dari harta pendapatannya.

Cara menentukan nisab zakat pendapatan

Sebagaimana kita sedia maklum bahawa sistem pendapatan hari ini sama ada secara kontrak (yakni pendapatan gaji) atau pendapatan bebas (kerja sendiri) kebiasaannya berdasarkan bulanan. Maka jika penentuan nisab dilakukan dengan melihat kepada jumlah gaji atau pendapatan setiap bulan, sudah tentu bagi kebanyakan orang, gaji atau pendapatan mereka secara bulanan tidak akan mencecah kadar nisab tadi lebih-lebih lagi jika ditolak perbelanjaan-perbelanjaan perlu. Jika ukuran itu dipakai, sudah tentu kebanyakan orang yang makan gaji atau berpendapatan tetap bulanan dari hasil kerja itu tidak perlu mengeluarkan zakat kerana tidak cukup nisab. Sedangkan jika gaji atau pendapatan mereka dikira dalam setahun, maka ia lebih banyak dari hasil perolehan orang lain yang bergiat dalam perniagaan, pertanian, penternakan dan sebagainya. Jadi untuk mengelak berlakunya keadaan di mana orang yang berpendapatan sedikit membayar zakat sedangkan yang berpendapatan banyak tidak mengeluarkan zakat (dengan dakwaan tidak cukup nisab), maka para ulamak memutuskan bahawa nisab zakat gaji atau pendapatan hendaklah dihitung berdasarkan jumlah pendapatan setahun, bukan mengikut jumlah pendapatan bulanan. Jadi, harta-harta perolehan (mal mustafad) pada setiap bulan dicampurkan antara satu sama lain selama setahun, kemudian dari jumlahnya dikira nisab.

Kadar zakat pendapatan

Kadar zakat yang dikenakan ke atas pendapatan ialah 2.5% dari harta bersih setelah ditolak kos/belanja sara hidup asasi.

Langkah-langkah mengeluarkan zakat gaji atau pendapatan

1. Hitungkan jumlah gaji atau pendapatan selama setahun.

2. Kemudian tolak kos dan belanja berikut;

a) Belanja keperluan asasi
b) Hutang-hutang kepada orang lain
c) Cukai kerajaan dihitung

2. Setelah itu, pastikan jumlah yang tinggal mencukupi nisab atau tidak?

3. Jika didapati mencukupi nisab, keluarkan zakat dengan kadar 2.5% dari jumlah pendapatan bersih setelah ditolak kos-kos tadi.

4. Nilai zakat itu boleh dibayar sekaligus untuk setahun atau boleh juga dibayar mengikut bulanan setelah nilai zakat itu dibahagikan dengan 12 bulan.

Wallahu A’lam.

Rujukan:

1. Fiqhu az-Zakah, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, cet. Maktabah Wahbah/Kaherah, Mesir (1994).
2. Zakat Menuju Pengurusan Pfofesional, Mujaini Tarimin. sumber :
akira8047
kedaikopitepimasjid

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ulasan yang membina dialu-alukan. (kalau nak ulas atau nak hentam aku... sila taruk nama... baru aku boleh respek hangpa... tak tau cara nak tulis nama : hangpa klik kat nama/url dan kasi taruk nama kat situ. bukannya susah pun)

10 ARTIKEL YANG TERDAHULU

Artikel Terdahulu