Pilihan anda di PRU13

Rabu, 8 Julai 2009

Manek Urai - Kejam Umno!!! Kejamnya ISA!!!

ISA Pisahkah ahli-ahli 'syurga'

Selepas subuh, Fathur Rahman Al- Ghazi, 4 tahun, sudah cantik bergaya, tidak sabar berjumpa ayahnya. Di tangannya beberapa helai kertas kosong dan sekotak pensil warna digenggam kemas.

Nak ayah lukis, lepas itu adik warnakan, beritahu Fathur kepada ibunya.

Untuk bertemu ayahnya yang terindu, Fathur dan ibunya terpaksa menempuh perjalanan sejauh 350 kilometer dari Simpang Durian, Negeri Sembilan ke Kem Kamunting Taiping, Perak dengan menaiki bas.

Perjalananan selama lebih lima jam itu, membuatkan sesekali si kecil ini merengek lapar dan merasakan terlalu lama.

"Lama lagi ke mak?," katanya tidak sabar untuk bertemu ayahnya. Sudah berkali-kali menyapa soalan yang sama, akhirnya si comel ini terlena di pangkuan ibunya.

Lewat petang, dua beranak ini muncul di bilik berpintu besi itu dengan mata yang sudah mula berkaca. Fathur terus memeluk ayahnya, lantas meminta melukiskan gambar pada cebisan-cebisan kertas kosong yang dibawanya.

Setelah ayahnya siap melakarkan gambar-gambar menarik, Fathur mula mewarnakannya dengan penuh khusyuk, penuh semangat dan penuh ceria. Sementara Fathur khayal dan asyik dengan kerjanya, si ibu dan sang ayah mula melabuhkan rindu, bertukar-tukar cerita dan berkongsi duka lara untuk seketika.

"Masa cukup!" Jerkah pengawal yang berada di sisi keluarga tiga beranak ini. Tersentak ketiga-tiganya lantaran, masa membungkam rindu diberikan 45 minit semata-mata.

Setelah seronok mewarnakan lukisan ayahnya itu kini semangat riangnya Fathur mula berkecai ketika ibunya menyapa lembut untuk pulang meninggalkan ayahnya.

Hidayu Kamrulzaman, 25 cuba memujuk si kecil Fathur agar melepaskan dakapan erat di tubuh sang ayah. Meronta-ronta, disusuli esak tangisnya lantas dibelai ayahnya semula dengan nada sayu.

"Nanti ayah balik ya. Ayah ada kerja..." kata ayahnya sambil merungkai perlahan-lahan jemari halus anaknya itu yang mencengkam tidak mahu melepaskan pergi.

Itu rakaman kisah benar yang diceritakan sendiri oleh ibunya, ketika saya mengunjungi keluarga mangsa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) setahun yang lalu ketika menggalas tugas wartawan.

Saya tidak dapat membayangkan betapa tersiatnya hati seorang anak kecil apabila dipisahkan daripada ayahnya. Ya, 'ahli-ahli syurga' yang tidak berdosa ini tidak mengerti apa-apa.

"Bayangkanlah ketika melihat orang lain bermanja dengan ayah mereka, dia bertanya saya mengapa ayahnya tiada di sisi apatah lagi pada hari raya nanti,"kata Hidayu sayu sambil memangku anak bongsunya Ubaidah Al-Harith, 1 manakala anak keduanya Uwais Al-Qarani, 3 rancak bermain dengan si abang, Fathur.

"Saya tak mampu nak bawa ketiga-tiga mereka. Saya bawa seorang sahaja, bergilir-gilir setiap kali pergi melawat. Tambahan pula naik bas dari sini," jelasnya sambil didatangi Fathur dan Uwais ke riba saya.

Saya cuba menahan sebak dan memalingkan muka ke arah lain tatkala si abang mula memegang baju bucu seluar saya lalu bersuara lembut " Acik, bawa balik ayah ya...?"

Di dalam kereta, bercucuran air mata saya, berderai laju....

'Bencikah ayah kepada saya...?'

Tanggal 27 September tahun lalu turut membawa saya ke sebuah rumah di Kampung Sg. Tiram, Johor, menyelami derita seorang kanak-kanak perempuan Hawa Baraah Zakaria, 7 tahun yang 'kehilangan' ayahnya secara tiba-tiba, seminggu selepas hari raya beberapa tahun yang lalu.

Hawa, ketika saya tiba bersama rakan-rakan yang lain, kelihatan pucat lesi. Matanya buntang melihat begitu ramai mengunjungi rumah kecilnya itu. Dia mengesyaki seolah-olah saya akan membawa 'pergi' ibunya sama seperti ayahnya juga.

Lantas, dalam keadaan kelihatan canggung dan takut-takut terus merapati sambil tangannya tak lekang dari jemari ibunya. Tidak ada senyuman diraut wajahnya nan comel itu.

"Maafkan anak saya ini. Dia takut-takut sejak dari penahanan ayahnya itu sehingga dia merasakan ada orang nak memisahkan antara saya dan dia," kata ibunya, Saodah Matin, 26.

"Jika saya keluar atau mengajar, dia sangkakan yang saya nak tinggalkan dan membenci dirinya.

"Dulu dia salahkan ayah kerana tinggalkan dia...," jelas Saodah yang kelihatan tenang dari raut matanya.

Akibat dari trauma dan ketakutan yang amat sangat, Hawa tidak pernah bersekolah sedangkan rakan sebayanya sudah berada di dalam darjah satu. Tidak mahu ketinggalan dalam pelajaran, Saodah terpkasa mengupah guru mengajar di rumahnya dengan bayaran RM200 sebulan.

"Saya sendiri tidak bekerja sebab anak takut nak berpisah. Ayah, mak, jiran dan rakan-rakanlah yang banyak membantu menyara mana yang mampu keperluan kami ini," katanya kepada saya, yang sudah berlain rasa.

Tarikh yang sama, saya menemui pula sebuah keluarga bekas pensyarah Institusi Pengajian Tinggi Awam, yang turut menjadi mangsa akta ISA ini.

"Suami dan menantu saya ditahan pada Januari 2002 sebelum menunaikan solat subuh. Rumah kami digeledah sementara kami sekeluarga diarah duduk di anjung rumah bersama anak-anak yang lain," kata Zakiah Mat menceritakan trauma enam tahun lalu.

Wajahnya yang kelam dan tunduk ketika ditanya menzahirkan segala kesusahan yang dirasai. Menampung kehidupan, isteri pensyarah ini membuat dan menjual kuih 'Tepung Pelita' sekitar kawasan perumahannya.

"Mujurlah ada juga jiran yang bersimpati. Mereka hantar anak-anak mereka untuk saya jaga dan dengan cara itu mereka beri bantuan dana sedikit sebanyak," katanya yang tidak bercadang untuk melawat suaminya atas faktor kewangan.

"Mana-mana anak yang dah besar dan mampu, mereka pergi sendiri melawat ayah mereka di Taiping. Saya kena teruskan kehidupan dan tampung perbelanjaan keluarga seharian di sini," katanya menahan air matanya tumpah.

Ya, seorang demi seorang anak-anak hilang kasih sayang, lantaran akta padah ini. Mereka 'ahli-ahli syurga' yang dicengkam derita dan terpaksa melalui kehidupan sengsara, tidak seperti rakan-rakan yang lain yang riang gembira.

Bermain-main, bersenda-loka dan memeluk erat tubuh ayah, suatu nikmat seorang anak yang dianugerahkan tuhan kepada 'ahli-ahli syurga' ini.

Si kecil ini tidak pernah mahu apa-apa melainkan, ada ayah di sisi di kala malam hari, di waktu lepas sekolah siang hari dan tatkala tiba Syawal nanti.

Namun itu hanyalah mimpi, selagi pengubal, pencipta, pemimpin dan pelaksana akta ini tidak pernah ambil peduli.

Letakkanlah, diri kita di tempat mereka atau bagaimana anak-anak kita, seperti mereka?

Dan soalan bertali arus ini tidak pernah putus dari ingatan selagi Akta ini masih ada di depan mata. - azm

(Segala kritikan, teguran dan pandangan bolehlah dimajukan kepada saya di azaminamin@yahoo.comAlamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya ) --------------------------------------------------------------------------------

- Bantu mereka yang teraniaya hulurkanlah tangan untuk meringankan beban keluarga mangsa tahanan ISA. Sila salurkan derma ikhlas anda ke akaun Maybank HARAKAHDAILY DOT COM bernombor 5640 7000 0336

- Himpunan raksasa menuntut masuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dijadualkan 1 Ogos depan di ibu kota. Tunjukkan sokongan anda. _


sumber : hrkhdaily(Azamin Amin )
akira8047
kedaikopitepimasjid

3 ulasan:

  1. La ni aku nak tanya, depa tangkap tu pasai pa? orang duk tengah minum kedai kopi depa pi tangkap ka? kut duk tengah sembang2, depa mai tangkap? kalau mcm tu kita semua patut lawan... ni org kena tangkap pasai cari pasai..yg duk kalut pi jolok sarang tebuan sapa suruh? bila kena sengat kata tebuan tak adil? apa cerita?
    Aku dah 40 tahun duk kt kedah ni x dak sap pun mai kacau aku, nak tangkap masuk ISA pun?
    bila dah kena taangkap buat la muka kesian, cerita sedih....sendiri cari pasai sendir mau ingat la..
    nazri

    BalasPadam
  2. salam saudara nazri.

    Yang menjadi isu tentang ISA adalah berkenaan dengan tangkapan tanpa bicara. Maksudnya kesahihan tentang kesalahan tahanan belum terbukti. Sekiranya ditangkap dan dibicarakan, rasanya tak ada sapa yang nak pertikaikan. Ini tangkap dan sumbat... Islam sendiri mengajar kita untuk membuktikan kesalahan seseorang sebelum dijatuhi hukuman. Sekiranya saudara benar2 dikalangan orang mukmin, tentu saudara mengerti.... menolak ajaran Islam itu apa hukumnya?

    Harap2 saudara mengerti kenapa penulis blog mahukan ISA mansuhkan....

    BalasPadam
  3. Inilah manusia durjana yang dah buat onar dan kena ISA minta simpati. Masa buat salah tak ingat anak bini. Bila dah masuk dalam mula menangis menyesal tak guna dah masa tu. Berani buat berani tanggung

    BalasPadam

Ulasan yang membina dialu-alukan. (kalau nak ulas atau nak hentam aku... sila taruk nama... baru aku boleh respek hangpa... tak tau cara nak tulis nama : hangpa klik kat nama/url dan kasi taruk nama kat situ. bukannya susah pun)

10 ARTIKEL YANG TERDAHULU

Artikel Terdahulu